KRISIS KEPIMPINAN MAYC

KRISIS kepemimpinan MAYC nampaknya berlanjutan hingga ke hari ini setelah berlanjutan hampir setahun. Ini hasil dari tindakan bekas presidennya, Tan Sri Syed Hamid Albar yang mendakwa pelantikan Akhramsyah Sanusi sebagai presiden dan jawatankuasa baru pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 31 Julai lalu tidak sah sedang kedudukan dia sendiri sebagai Presiden MAYC sudah banyak cacat celanya.

 Perkembangan  ini menampakkan kepincangan dalam pertubuhan belia, malah mengaburi matlamat asal penubuhannya untuk membela nasib ahli sedangkan organisasi sendiri berantakan.  Presiden MBM, sendiri menyedari kemelut yang berlaku dalam pemilihan MAYC tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini adalah masaalah dalaman MAYC.

Kita boleh beranggapan ini sebagai suatu kelaziman yang kadangkala tidak dapat dielak dalam proses pemilihan sesuatu organisasi. Apa yang lebih penting, kini MAYC mampu menjalankan tanggungjawabnya iaitu mengadakan mesyuarat agung tahunan. Ini menunjukkan ahli khususnya pemimpin MAYC pada peringkat negeri dan cawangan masih meyakini serta memberi harapan kepada pertubuhan itu.

Mengenai proses pemilihan yang diadakan sebelum ini, kita boleh meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia untuk membuat keputusan. Malangnya keputusan yang dibuatnya tidak mengguntungkan sesiapa. Malah meruncingkan lagi masalah yang sedang dihadapi.

 Suara ahli MAYC harus didengar berlandaskan peruntukan perlembagaan pertubuhan. Sebagai badan induk, MBM menghormati segala keputusan serta tindakan diambil MAYC. Kini masa untuk pemimpin MAYC mencari titik pertemuan bagi persoalan yang menjadi perbezaan pandangan. Semua pihak khususnya pemimpin lama dan baru MAYC ada kesedaran serta kematangan untuk menyelesaikan masalah mengikut pemahaman kekeluargaan.
Jika dilihat 40 pertubuhan yang bergabung di bawah naungan MBM, semuanya mempunyai asas penubuhan sama ada berdasarkan keperluan pendidikan, keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan atau badan sukarela berpakaian seragam. Dari aspek sejarah, kebanyakan pertubuhan ini diwujudkan sebelum Merdeka atau ketika Malaysia rancak melalui fasa awal pembangunan (akhir 1960-an atau awal 1970-an). Ada juga ditubuhkan lebih lama iaitu Persekutuan Pengakap Malaysia ( 1908) dan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (1948). Pertubuhan inilah yang mendorong penubuhan MBM pada 1948 di Pulau Pinang.  Kewujudan pertubuhan belia di Malaysia selari dengan pembangunan negara. Sejak sebelum negara merdeka, kami sentiasa mengimbangi peranan sebagai lapisan ketiga masyarakat seperti diiktiraf dalam masyarakat sivil iaitu selepas kewujudan kelompok pentadbiran (pemerintah) dan kelompok ahli perniagaan (korporat).

Paling utama yang harus diiktiraf semua pihak ialah bagaimana penggiat dan pemimpin belia ngurus serta mentadbir perbezaan yang wujud mengikut keperluan pertubuhan masing-masing.

Fenomena power struggle ada di mana saja termasuk dalam entiti keluarga, pejabat apatah lagi pergerakan belia. Walaupun bukan organisasi politik, pergerakan belia perlu dipimpin individu serta sekumpulan ahli yang memiliki kuasa dan wibawa. Kuasa untuk menentukan arah tuju pertubuhan dan idealismenya serta kuasa membentuk tingkah laku serta pemikiran ahlinya. Usaha advokasi dan perubahan dalam masyarakat memerlukan usaha serta perjuangan yang tinggi. Kepemimpinan yang kuat hanya terserlah apabila seseorang melalui ujian kepemimpinan termasuk menangani isu kepemimpinan serta mengurus perbezaan pendapat. Kewujudan kumpulan akibat berbeza pandangan kadangkala tidak dapat dielak dan harus dipandang positif.

Apa yang penting, pertembungan pendapat serta kepemimpinan masih dalam sempadan idealisme serta teras perjuangan pertubuhan belia. Perbezaan panda-ngan akan melahirkan individu lebih bertanggungjawab, berkeyakinan dan matang. Saya tidak mahu anak muda menjadi generasi yang dibelenggu sindrom keakuran palsu sehingga membunuh nilai kebenaran dalam masyarakat. Perbezaan pandangan yang dizahirkan melalui bantahan atau mak-lum balas yang tidak menepati pandangan kita walaupun pedih untuk diterima, masih memberikan makna ahli atau kumpulan itu sudi menerima sistem yang diamalkan. Apa jadi kalau mereka terus meninggalkan kepemimpinan tanpa pengikut? Dalam konteks negara dan masyarakat, pergerakan belia mempunyai ‘tali halus’ yang menghubungkan pentadbiran negara dengan rakyat. Jadi, pemimpin belia juga ialah pemimpin pendapat yang mesti diakui peranan dan kewujudannya.

Semua pihak harus memahami ragam dan idealisme belia. Apatah lagi belia era pasca Akta 668 yang berusia bawah umur 40 tahun. Ini kelompok orang muda yang memimpin rakyat berusia antara 15 hingga 40 tahun dengan keupayaan material serta ruang terbatas. Kerja ini sukarela. Namun, ada sesetengah pihak menilai kami seperti syarikat atau jabatan kerajaan, sehingga menegur cara sesetengah pemimpin belia menulis surat tidak mengikut format yang betul. Ada juga yang mencemuh kerana belia tidak mampu berbahasa Inggeris. Mungkin itu kelemahannya, namun beliau juga yang menyingsing lengan waktu banjir melanda.

Orang inilah yang menebalkan muka meminta bantuan untuk masyarakat. Individu ini juga memiliki ramai pengikut dan mampu menjadi penentu kepada banyak aliran masyarakat termasuk pengguna, gaya hidup, malah kuasa pemerintahan. Kita perlu pertingkat pengiktirafan masyarakat serta kerajaan terhadap pembabitan dan suara anak muda ini. Kita mahu belia bukan sekadar menjadi pengguna polisi, tetapi terbabit penuh dalam penggubalan polisi itu

One Response

  1. […] KRISIS KEPIMPINAN MAYCPosted on October 6, 2011 by ModeratorKRISIS kepemimpinan MAYC nampaknya berlanjutan hingga ke hari ini setelah berlanjutan hampir setahun. Ini hasil dari tindakan bekas presidennya, Tan Sri Syed Hamid Albar yang mendakwa pelantikan Akhramsyah Sanusi sebagai presiden dan jawatankuasa baru pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 31 Julai lalu tidak sah sedang kedudukan dia sendiri sebagai Presiden MAYC sudah banyak cacat celanya […]

Leave a comment