WISMA BELIA , WISMA TERBIAR (3)

Lanjutan daripada post kita mengenai tajuk diatas kami ada menerima komentar dari seorang yang kami yakin adalah sekongkol dengan kelompok yang memimpin MAYC ( sudah dibatalkan oleh ROS) sekarang – awalrudin@yahoo.com

Comment:
“Memang dr dulu lg kot semasa veteran mayc teraju wisma belia dari ujung tahun sampai lah ke bulan 2 wisma belia nie tk de group yg menyewa. Banyak kementerian tk dpt bajet lg kan. Agro bank lak nk buat penyelarasan gaji terpaksa tutup beberapa cawangan utk kurangkan kos. Bkn agro bank saja yg jd mcm nie kebanyakkan bank2 lain pn sama. Cimb di pasar pudu terletak di bangunan wisma indah terpaksa gak tutup walaupun ramai org yg pergi kat sana. Sudah2 lah wahai pakcik dn makcik jangan asik dok ngata org. Baiklah buat amal ibadah banyak2. ”

Komentar diatas adalah dari seorang yang amat terdesak untuk mempertahankan pimpinan sekarang. Dari bahasa dan ejaan yang digunakan jelas dianya adalah seorang yang pendidikannya boleh dipersoalkan. Bagitu juga dengan isi komentar itu yang jelas menunjukkan budak ini buta sejarah dan sekarang ini mungkin sedang cari makan di Wisma Belia. Beliau bimbang sekiranya ada perubahan pada pengurusan Wisma Belia, beliau mungkin akan dipecat saperti mana mereka memecat Veteran kita Sdr Abu Bakar Shawkat Ali.

Komentara itu bercorak confrontational dan kami bersedia untuk berdebat dengannya pada bila-bila masa untuk memberi penjelasan kedudukan MAYC dan Wisma Belia.

Esok kita akan dedahkan konspirasi yang sedang berlaku dalam MAYC ( berdaftar dengan ROY ) sekarang untuk merebut pengurusan Wisma Belia.

WISMA BELIA, WISMA TERBIAR (2)

KAMI ada menerima E-mail dari Sdr hairi9380@gmail.com yang memberi komentar saperti berikut:

Saya cadangkan pihak tuan perlu pergi mendapatkan pihak pengurusan untuk dapat kepastian,bukan sekadar pergi melihat dan membuat keputusan dan kesimpulan sendiri tentang wisma belia,kemungkinan ada perancangan jangka panjang yg di luar pengetahuan tuan,

Pada hemah saya yg berada di kepimpinan mayc di peringkat bawah, melihat sikap dan bekas kepimpinan mayc seperti ini,yg hanya menuduh tampa usul periksa membuatkan saya menjadi mual untuk mengaku akan mewarisi kepimpinan mayc di masa akan datang,

Apa yg saya katakan ini adalah berlandaskan apa yg saya telah saya dengar setelah berbual dengan diantara org yg meguruskan wisma ini.tentang perancangan jangka panjang pengurusan mayc tentang wisma belia pada dua minggu lepas,

Semasa menginap di wisma tengku yang di sewa oleh majikan saya secara bulanan,jadi sy sering berada di situ dan tahu serba sedikit perkembangan wisma yg kita sayangi ini.

Jadi nasihat saya kepada tuan,selidik dan pergi berjumpa dengan pengurusan wisma dan salurkan maklumat yg benar, kepimpinan melalui teladan.”

KITA  mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Sdr Hairi kerana memberi cadangan yang sangat baik. Oleh itu kami bercadang untuk membuat lawatan ke Wisma Belia pada 7 Disember 2013 jam 2.00 petang. Kalau boleh Sdr Hairi ikut sama dan jika boleh bantu kami untuk pastikan pihak pengurusan Wisma Belia berada pada waktu tersebut. Rombongan dari Kelab Veteran terdiri dari lima orang JKK sahaja.

MEMIMPIN UNTUK KEPENTINGAN DIRI

Berebut-rebut jawatan biasa kita dengar dalam politik. NGO juga tidak terkecuali dan ini termasuklah MAYC. Ramai yang mahu memegang jawatan dalam MAYC kerana berharap untuk dapat menjadi calun dalam PRU. Sekiranya menang mereka amat berharap untuk dapat diberikan jawatan dalam kerajaan, tak kira jawatan apapun asal mendapat status dan boleh buat duit.

Hakikat ini amat terasa dengan adanya perebutan kuasa disana sini dalam MAYC. Sebuah pertubuhan sukarela sudah dijadikan medan untuk merebut berbagai-bagai faedah peribadi.

Malang sekali bagi mereka ini apabila sudah memegang jawatan penting dalam MAYC diberbagai-bagai perengkat, nama mereka tidak diangkat sebagai calun. Kalau menjadi calun pun bukan kerana jawatan mereka dalam MAYC.

Pemimpin MAYC harus sedar bahwa mereka tidak ada pengaruh lagi dalam politik negara, tidak saperti dulu Tidak ada sesiapa yang pedulikan mereka. Malah MAYC tidak lagi menjadi aset kepada mana-mana parti politik.

Oleh sebab itulah Veteran MAYC menganjurkan agar pemimpin MAYC sekarang menumpukan perhatian dan tenaga untuk menghidupkan semula MAYC dan kelab-kelab gabungannya. Program-program pembangunan dan kepimpinan perlu diadakan untuk melatih pemimpin dan sukarelawan muda.

Kembalilah keasal matlamat penubuhan MAYC, Veteran MAYC sedia membantu.

PRESIDEN MAYC SEKARANG

Kami ditemukan dengan Mohd Hazri, Presiden MAYC disatu perjumpaan Veteran Kedah di Alor Setar, dua tahun lalu. Beliau diminta berucap pada majlis itu sebagai tanda menghormati Presiden yang baru dilantik.

Dalam ucapannya yang begitu hambar,Mohd Hasri telah membuat berbagai janji untuk menyatupadukan MAYC dan menyelesaikan masalah kewangan Wisma Belia. Ternyata hingga hari ini segala janji ini tidak pernah dapat ditepati.

Kami telah menyusul perjumpaan kedua di majlis berbuka puasa di Kelab DiRaja Selangor. Mohd Hazri hadir bersama empat orang kakitangannya. Tidak seorang pun Exco yang lain turut hadir. Pada perjumpaan itu kami telah mengajukan berbagai soalan yang tidak boleh dijawab dengan tepat oleh Mohd Hazri kecuali apabila dibantu oleh kakitangannya. Ternyata perjumpaan tersebut hanya sia-sia dan membuang masa sahaja.

Selepas itu tidak ada sebarang usaha dari pihak MAYC untuk menjemput kita kemajlis-majlis dan program mereka. Disebaleknya Veteran MAYC menjemput seluruh Exco MAYC hadir dimajlis kita tetapi tidak pernah mereka mahu hadir.

Sekiranya sikap ini berterusan dalam MAYC, kita tidak nampak bagaimana ianya akan terus maju membangunkan belia bawah umur 40 tahun terutama sekali dalam bidang perniagaan.

breadman

Inikah program perniagaan yang boleh dijalankan oleh MAYC sekarang ??

WISMA BELIA – WISMA BERMASAALAH

Sejak ianya dibina semasa YAM Tunku Abdullah menjadi Presiden MAYC Kebangsaan pada awal tahun 70an, kewangan Wisma Belia amat memperihatinkan. Dengan pinjaman bank yang tidak berbayar pada awalnya, hutang termasuk faedah melambung ke paras yang tidak lagi membolehkannya bergerak sebagai sebuah entiti yang “viable”

Kedudukan kewangan ini ditambah beratkan lagi dengan pembinaan Wisma Tunku disampingnya. Hutang kepada bank pada satu masa hingga mencecah kepada RM 29 juta. Kalau dibagi hutang ini kepada jumlah ahli yang ada pada masa itu ianya juga tidak terhapus.

Oleh kerana itu pergerakan belia MAYC selanjutnya adalah tertumpu kepada mencari jalan untuk menyelesaikan hutang piutangnya. Dan dikalangan pemimpin MAYC pada waktu itu tidak mempunyai keupayaan mencari jalan penyelesaian sungguhpun ada diantara mereka memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet.

Berbagai cadangan untuk pengstrukturan semula hutang MAYC dibuat tetapi akhirnya diletakkan dibawah tanggungan Danaharta dan sekarang ini dibawah Prohas yang amat takut untuk mengambil tindakan drastik kerana kononnya MAYC mempunyai kaitan dengan pemimpin negara sekarang ini.

Sewaktu Veteran MAYC mengadakan perbincangan mengenai hal ini dua tahun yang lalu dengan Presiden yang baru dilantik, kami telah diberi tahu bahwa Perdana Menteri telah bersetuju supaya hutang MAYC kepada bank ini dikurangkan kepada RM3 juta sahaja. Satu angka yang tidak munasabah tetapi berkemungkinan. Tidak jelas pula sama ada keputusan ini dibuat secara lisan sahaja dan cara pembayaran balik wang ini kata Presiden itu adalah hal dalaman MAYC. Dia tidak mahu menerima sebarang nasihat dari para Veteran yang ada.

Menjadikan umur pemimpin pertubuhan belia dibawah 40 tahun diMalaysia adalah tidak tepat kerana jelas sekali tahap pemikiran Presiden ini jika ianya mewakili pemimpin yang lain sangat rendah dan agak kebodoh-bodohan.

Sebenar beliau tidak beterus terang tentang kedudukan hutang piutang MAYC pada masa ini dan tentu sekali tidak mempunyai idea langsung mengenai cara-cara untuk melangsaikan hutang ini.

Lawatan Veteran ke Wisma Belia jumaat lalu jelas menunjukkan bahwa kedudukan kewangan MAYC akan bertambah buruk lagi dengan pengurusan Wisma Belia sekarang.

Sudah sampai masanya untuk Pendaftar Pertubuhan Malaysia yang telah membatalkan pendaftaran MAYC tiga tahun yang lalu itu mengarahkan Jabatan Insolvensi mengambil alih bangunan dan hutang piutang MAYC.

Dan dengan itu bolehlah MAYC yang didaftar dengan ROY bergerak terus dibawah MBM dan membantu Kerajaan sekarang dalam program-program kenegaraan serta tidak lagi terkait dengan masalah kewangan Wisma Belia , wisma bermasaalah.

tunku_abdullah

WISMA BELIA, WISMA TERBIAR

Lawatan kami ke Kompleks MAYC atau lebih dikenali dengan Wisma Belia pagi ini menunjukkan bahwa tidak ada kenderaan yang pakir ditempat letak kereta didepan bangunan ini. Ini menandakan tidak ada orang yang menyewa di asrama belia ini yang terletak di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur bersebelahan dengan Bangunan MCOBA.

Begitu juga dengan keadaannya di lantai bawah bangunan ini yang kosong dan tidak lagi disewa oleh Agro Bank yang pernah menyewa disitu beberapa waktu dahulu. Agro Bank merupakan anchor tenant di Wisma Belia. Restoran ditingkat bawah ini juga tidak beroperasi. Tidak kelihatan sesiapa yang bertugas di kaunter reception.

Oleh kerana hari ini hari sabtu mungkin sekretariat MAYC di lantai dua tidak buka dan begitu juga pejabat-pejabat yang lain.

Timbul pula tanda tanya apakah Wisma Belia tidak lagi berpenghuni atau menantikan lelongan bank tidak lama lagi. Hanya pengurusan Wisma Belia dan MAYC sahaja yang boleh menjawab pertanyaan ini.

WismaBelia-sml

PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN

Pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi serta menjadi matlamat pengusaha pertanian bahawa setiap pelaburan yang dilakukan mampu memberi pulangan menguntungkan.

Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukan satu langkah ke belakang, sebaliknya usaha dipergiatkan bagi menjadikan sektor ini sebagai perniagaan untuk jangka panjang. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan perubahan, tidak lagi mengikut cara lama sebaliknya menggunakan bioteknologi dan teknologi moden bagi menambah nilai hasil pertanian negara.

Kerajaan tidak melihat pertanian sebagai sektor yang mundur akan tetapi sebagai sektor industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan import makanan. Oleh yang demikian, kita perlu merubah tanggapan bahawa pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang mempunyai sedikit nilai ditambah serta menjana pendapatan yang rendah kepada salah satu cabang perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan.

Sektor tani merupakan kegiataan utama ekonomi masyarakat luar bandar. Kaum bumiputera merupakan golongan tertinggi yang terlibat dalam perniagaan. Dengan itu, pembangunan sektor pertanian bukan setakat menjana sumber tumbuhan baru, malah dapat membantu usaha merapatkan jurang sosioekonomi di dalam negara.

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan rantaian nilai serta meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, perladangan komersial berskala besar dan menggunakan ICT serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi. Masyarakat tani pula perlu mengambil peluang yang tersedia ini bagi memajukan diri dan sektor pertanian keseluruhannya. Bioteknologi merupakan satu industri baru dan penting, berpotensi menjana sumber kekayaan baru. Usaha akan dipergiat bagi membangunkan industri bioteknologi sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada penggunaan bioteknologi dalam pertanian.

Perjalanan untuk menjadikan sektor tersebut sebagai satu perniagaan memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan tani bagi menerajui usaha merevolusikan sektor pengeluaran makanan.

Untuk berjaya di dalam bidang pertanian kita perlu ada role model petani-petani berjaya. Skala pertanian yang kecil masih menjadi masalah besar dan menghalang para petani meningkatkan pendapatan mereka. Petani harus bekerja pada skala ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan dengan mengkomersialkan usaha yang ada. Di sinilah letaknya peranan bank dan agensi berkaitan untuk membatu petani mengusahakan sektor pertanian secara komersial.

Masyarakat tani perlu mengubah mentaliti dan pendapat selama ini bahawa hasil pengeluaran mereka hanya cukup untuk keperluan sendiri dan akan dijual sekiranya ada lebihan. Aspek kualiti bukan keutamaan dalam pengeluaran mereka. Mereka perlu yakin bahawa aktiviti pertanian masa kini bukan sekadar memenuhi keperluan sara hidup sahaja malah ianya satu perniagaan yang boleh memberikan kekayaan. Berdasarkan perkembangan semasa iaitu dengan penggunaan jentera, pentadbiran secara tradisional yang menghasilkan produktiviti rendah boleh ditingkatkan melalui teknologi sedia ada.

Sektor pertanian yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan meliputi industri asas tani yang ketika ini telah mencapai nilai ditambah dan berpotensi menyediakan 128,000 pekerjaan baru secara langsung dalam jangka masa lima tahun akan datang. Potensi sektor ini tiada batasannya jika diusahakan dengan teliti. Menjelang tahun 2020, sektor pertanian perlu berada di tahap kejayaan yang membantu membina imej sesebuah negara maju.

Di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong daripada orang-orang kaya. Ini disebabkan sektor pertanian yang diusahakan oleh mereka memberi pulangan menguntungkan. Menurut pakar ekonomi berkaitan pertanian, orang kaya dalam sektor pertanian sebenarnya bukan terdiri daripada golongan petani sejati tetapi adalah golongan pelabur dari sektor swasta atau individu yang mempunyai modal besar untuk mengusahakan industri pertanian secara komersial. Pertanian merupakan satu bidang yang memerlukan modal besar dan hanya mereka yang sanggup melabur akan memperolehi kejayaan.

Untuk memastikan pertanian yang diusahakan menguntungkan, usahawan tani perlu sedia berubah terhadap cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan sebagai seorang usahawan. Setiap perbelanjaan dan pendapatan direkod bagi mengetahui untung rugi sesuatu projek yang diusahakan. Trend pasaran, risiko dalam bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan lain-lain yang berkaitan dengan faktor pengeluaran perlu sentiasa diberikan perhatian.

Bagi memastikan bidang pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan dan mampu memberikan kekayaan, aspek kuantiti dan kualiti sentiasa dipertingkatkan. Kualiti produk yang dihasilkan akan menentukan harga pasaran hasil yang akan dijual. Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses nilai tambah seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.

Pertanian dalam negara mampu berdaya saing sekiranya semua pengusaha dalam bidang pertanian turut mengambilkira program pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pengusaha-pengusaha pertanian boleh mendapatkan pengiktirafan melalui pensijilan Amalan Pertanian Baik (APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang Ternakan (SALT) daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan Malaysia. Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan selamat untuk dimakan, pensijilan diperolehi secara tidak langsung dapat menepati piawaian pengeluaran antarabangsa yang membolehkan hasil keluaran dipasarkan ke luar negara.

 

dari blog Persatuan Peladang Malaysia