CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Pesanan rengkas yang saya terima dari bekas Presiden MAYC yang hampir-hampir melumpuhkan pertubuhan ini berbunyi lebih kurang begini:

Saya fikir elok jika ahli MAYC duduk bersama untuk cari jalan penyelesaian, ini bermakna kita gunakan kaedah yang ditetapkan undang-undang dan siapa juga yang hendak mengambil alih ikutlah prosedur supaya semuanya berlaku dengan sah. Orang lama dan gulungan tua tidak perlu terlibat. Buat masa ini bincanglah dengan KBS. Jika ada tuduh menuduh dan fitnah, kita ketepikan. Cari kebenaran dan belia tidak akan rugi. MAYC bukan lagi hak pemimpin lama. Insyaallah Allah akan memberikan petunjuk dan hidayah untuk kebaikan dengan aman dan ketenangan.

Untuk beberapa hari ini kita harus memikirkan apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar ini.

Saya mohon untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran anda semua.

SURAT KEPADA PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA

Encik Sa’don Suraji
Pendaftar Pertubuhan Belia
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
Menara KBS, Lot 4G4, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 PUTRAJAYA

Yang Berbahagia Encik Sa’don

KEMELUT KEPIMPINAN MAYC

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara diatas dan ingin memaklumkan bahwa Kelab Veteran MAYC Malaysia dibawah pimpinan Datuk Nasir Safar ingin memainkan peranannya untuk menyelesaikan masalah ini secara rundingan.

Kami berhasrat untuk memanggil kedua belah pihak disatu perjumpaan untuk mencari jalan penyelesaian dengan harapan pergerakan MAYC ini dapat diteruskan dengan terlantiknya satu pimpinan yang boleh diterima oleh kedua belah pihak.

Peranan Kelab ini adalah terbatas kepada memanggil perjumpaan ini sahaja dan sekiranya pihak Tuan mempunyai cadangan lain kami bersedia menerimanya untuk kebaikan pergerakan belia dan MAYC.

Sekian dan diatas kerjasama pihak Tuan kami dahulukan ucapan ribuan terima kasih.

Yang benar
KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

MOHD TAIB WAHAB
Setiausaha Agung

HARIAN METRO 21 SEPTEMBER 2011

KUALA LUMPUR: Dua pihak yang masing-masing mendakwa Ahli Jawatankuasa (AJK) sah Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) bertikam lidah di Wisma Belia, Jalan Syed Putra, di sini, pagi semalam hingga memaksa polis campur tangan.
Pertikaman lidah itu tercetus apabila satu pihak diketuai Presiden MAYC, Mustafa Mat Aroff dan satu pihak lain diketuai, Setiausaha Agong, Ahmad Ansor Muhd Rivai, masing-masing mendakwa AJK sah dan mahu menjalankan tugas mewakili persatuan itu.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu memaksa polis meleraikan pertelingkahan dan menasihati kedua-dua pihak membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis menerima maklumat sebelum bergegas ke tempat kejadian bagi meleraikannya.

“Dua kumpulan itu dikatakan bertikam lidah dan kami menasihati mereka supaya tidak timbulkan huru hara,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada kecederaan dan tangkapan dibuat, tetapi kedua-dua pihak membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields.
Sementara itu, Mustafa berkata, jawatan Ahmad Ansor sebagai Setiausaha Agung tidak diiktiraf persatuan itu selepas mesyuarat agung diadakan pertengahan tahun lalu.

“Beliau jangan percaya dengan kewujudan persatuan lain dan hanya terdapat satu pucuk pimpinan di dalam MAYC,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Ansor mengakui memang terdapat perpecahan di dalam MAYC, namun sudah diselesaikan dengan rundingan kedua-dua pihak.

“Saya masih memegang jawatan Setiausaha Agong MAYC Kebangsaan dan kehadiran saya di Wisma Belia untuk menjalankan tugasan bagi berbakti kepada golongan muda.

“Tiada pergaduhan antara saya dengan Mustafa kerana kami hanya berbincang mengenai kedudukan sebenar masing-masing dalam persatuan demi masa depan MAYC,” katanya dalam sidang media di Wisma Belia, semalam.

MAYC terus dilanda kemelut ( UTUSAN MALAYSIA )

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Kemelut Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) berterusan hari ini apabila pimpinan yang ‘dilantik’ melalui mesyuarat agung tahunan (AGM) Julai 2010 hadir di Wisma MAYC di sini untuk ‘mengambil alih’ pentadbiran daripada pimpinan yang ‘dilantik’ pada AGM September tahun sama.
Kemelut tersebut bermula apabila Setiausaha Agung MAYC dalam pertikaian, Ahmad Ansor Muhd. Rivai (dilantik Julai 2010) hadir ke pejabat MAYC di Jalan Syed Putra untuk memulakan ‘tugasnya’ namun dihalang oleh Presiden dalam pertikaian, Mustaffa Mat Arof.
Berikutan halangan itu, Ahmad Ansor cuba mendapatkan bantuan polis bagi membolehkannya meneruskan kerja sebagai setiausaha agung yang ‘sah’ dan kedua-dua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Brickfields bagi memberi keterangan.
Mengulas perkara itu, kata Mustaffa, pihaknya tidak menghalang Ahmad Ansor daripada memasuki pejabat MAYC memandangkan Ahmad Ansor merupakan ahli persatuan serta sahabatnya.
“Namun apabila dia (Ahmad Ansor) mahu menceroboh pejabat setiausaha agung serta mengambil dokumen dalam pejabat itu, kami tidak benarkannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Ansor pula memberitahu, beliau mempunyai hak untuk meneruskan kerja sebagai setiausaha agung MAYC kerana mendapat mandat daripada tujuh cawangan MAYC negeri manakala pimpinan yang mentadbir MAYC pusat ketika ini hanya mendapat sokongan empat cawangan.
Kepada satu soalan, Ahmad Ansor yang juga seorang peguam menjelaskan:
“Allah yang memberi saya autoriti bagi melaksanakan segala tugas dalam MAYC.”
Pertikaian dalam MAYC bermula apabila dua pihak bertelagah mengadakan AGM berasingan pada 31 Julai tahun lalu manakala satu pihak lagi pada 4 September tahun sama.
Kedua-dua AGM tersebut bagaimanapun tidak disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) namun pimpinan yang diketuai Mustaffa kini menunggu rayuan mahkamah.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Panel Penilaian Pertikaian (PPP) masih mengkaji kedudukan kedua-dua pihak itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan individu berasingan daripada MAYC, namun enggan mendedahkan identiti mereka.
“Tiada sebarang penyitaan dibuat ke atas pejabat atau Wisma MAYC dan tindakan susulan tertakluk kepada langkah selanjutnya daripada pihak-pihak terlibat,” tegasnya

MEMPERTAHANKAN YANG BUKAN HAKNYA

Mustapha Mat Arof yang sedang mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden MAYC Kebangsaan akhirnya menggalah apabila Polis memberi tahunya bahawa pertikaian yang berlaku dalam MAYC adalah masaalah civil dan tidak boleh dilaporkan sebagai kes jenayah. Kedua belah pihak telah diminta untuk menyelesaikan tanpa campur tangan Polis.

Mustapha Mat Arof telah membuat aduan polis menuduh Ahmad Ansor Batubara, Setiausaha Agung MAYC menceroboh masuk ke sekretariat MAYC awal pagi semalam. Polis telah meminta kedua belah pihak ke Balai Polis untuk diambil keterangan. Satu prosedur yang salah dalam kes-kes civil saperti ini.

Ahmad Ansor dalam laporan balasnya telah merujuk kepada 2 laporan polis yang dibuat sebelum ini yang jelas menunjukkan tidak ada sebarang tindakan diambil polis pihak yang berkenaan kerana mungkin pada waktu itu Tan Sri Syed Hamd Albar, bekas Presiden MAYC masih lagi Menteri Dalam Negeri

Usaha-usaha untuk berjumpa dengan Pegawai Penyiasat Balai tersebut juga gagal kerana sebab-sebab yang boleh kita ramalkan. Pada hakikatnya tiada apa yang pihak Polis boleh lakukan untuk menyelesaikan masaalah ini.

Dengan campur tangan Abu Bakar Shawkat Ali ( kedudukannya dalam MAYC juga boleh dipersoalkan dan jawatan nya sebagai Pengurus Besar Wisma Belia sudah boleh ditammatkan ) akhirnya Mustapha Mat Arof menggalah dan membenarkan Ahmad Ansor terus berada di sekretariat MAYC bagi menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Agung.

Mulai esok sekretariat MAYC Kebangsaan dibawah pimpinan Akramsyah Sanusi akan beroperasi di Tingkat 3 Wisma Belia, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.

Kelab Veteran MAYC bercadang untuk memohon menggunakan Dewan Besar MAYC  bagi satu sessi dialog mengenai masa depan MAYC pada bulan hadapan. Dan bayaran sewa Dewan besar ini akan diserahkan terus kepada Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, Ahmad Ansor Batubara.

MAJLIS AIDIL FITRI 1432H BERJAYA

Kesemua 25 meja yang disediakan pada Majlis yang berlangsung malam tadi di Royal Selangor Club telah dapat dipenuhi dengan beberapa orang tetamu yang berlegar-legar diluar dewan untuk sama-sama menghayati suasana yang amat meriah sekali dengan hadirnya ramai veteran-veteran MAYC.

Kelab Veteran MAYC amat menghargai sumbangan MAYC Kebangsaan pimpinan Akramsyah Sanusi yang menjadi tulang belakang kejayaan majlis tersebut. MAYC Kebangsaan sendiri telah memenuhi 10 buah meja yang ahli-ahlinya datang dari semua negeri keluali Kelantan dan Trengganu. Ramai yang mengirim sms untuk menyatakan kesal mereka kerana tidak dapat hadir.

Setelah Pengerusi JKK Penganjur Datuk Mohd Yusoff Hamid berucap, Pemangku Presiden Datuk Nasir Safar pula berucap untuk mengucapkan setinggi terima kasih diatas sumbangan dan pimpinan Tan Sri Sanusi Junid semasa menjadi Presiden MAYC Kebangsaan dan Pengasas Kelab Veteran MAYC Malaysia.

Dalam ucapan balasnya Tan Sri Sanusi Junid mengimbau kembali masa kegemilangan MAYC dimasa yang lampau dan menggesa generasi baru pimpinan MAYC supaya meneruskan perjuangan untuk membela nasib belia-belia negara dalam semua bidang. Kata nadi bagi perjuangan MAYC adalah Wisma Belia dan Wisma Tunku yang mesti diperjuangkan sebelum terlambat. Kedua bangunan inilah yang menjadi sumber ilham kepada semua pergerakan MAYC.

Majlis telah diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan sumbangan MAYC Perak.

Turut hadir dimajlis tersebut adalah tokoh-tokoh veteran MAYC termasuklah mantan Presiden Dato’ Syed Ahmad Idid, Dato Aziz Rahman, Datuk A Mutalib Razak dan ramai lagi.

MAYC Kebangsaan pimpinan Akramsyah Sanusi amat teruja dengan suasana majlis tersebut dan bertekad untuk menyelesaiakan masaalah MAYC yang ditinggalkan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar dan Syed A Rahman Kuning.

PETIKAN UCAPAN DATUK NASIR SAFAR

Tan Sri Sanusi Junid adalah manusia luar biasa dan merupakan pemimpin yang amat memberi pengaruh kepada individu lain di dalam MAYC. Sesuatu yang menarik dalam kepimpinannya adalah untuk sentiasa mewujudkan hubungan pemimpin dan pengikut bagi mencapai kecemerlangan.
Pencapaiannya yang cemerlang di dalam MAYC merupakan langkah-langkah atau aktiviti-aktiviti yang di rancang olehnya bagi mendorong ahli MAYC meningkat tekat dan keazaman ke arah kecemerlangan organisasi. Oleh itu, usaha ke arah penyatuan ahli dan aktiviti MAYC bergantung besar kepada kepintarannya sebagai pemimpin.
Kemahirannya dalam memimpin MAYC merupakan sesuatu yang telah di pertingkatkan dari masa ke masa.Kemahiran bekerjasama amat di tekankannya di dalam sesebuah organisasi bagi mencapai kecemerlangan.Sebagai seorang pemimpin Tan Sri mampu mengerakkan seluruh jentera MAYC.
Di dalam usahanya untuk memasyarakatkan MAYC terutama masyarakat belia luar bandar, Tan Sri telah menggunakan berbagai konsep yang boleh di gunakan untuk mengembeling tenaga belia yang ada dalam MAYC.
Selain itu, beliau mempunyai kemahiran melihat masa hadapan dan ini memainkan peranan utama bagi mencapai kejayaan sesebuah organisasi ke arah kecemerlangan. Sebagai pemimpin biasanya beliau akan lebih selesa dengan suasana yang sedia ada tetapi sesuatu yang baru tidak akan pernah diabaikan.
Kemahiran inilah yang membezakan beliau dengan pemimpin yang lain.Dengan melihat masa hadapan, beliau dapat meletakkan harapan yang mungkin hanya akan berlaku selepas beliau tiada lagi tetapi laluan ke arah itu dilakukan semasa beliau memimpin MAYC..Pendek kata, Tan Sri mempunyai keupayaan mendahului zamannya dan caranya ialah dengan mempertajamkan kemahiran melihat masa hadapan.

(semasa berucap di Majlis Aidil Fitri Kelab Veteran MAYC Malaysia)