BAHASA MELAYU 2

Minat membaca yang disemai dan dipupuk dari usia muda ternyata menumbuhsubur minat Dr Lim Swee Tin dalam kesusasteraan Melayu dan penyumbang utama kepada kejayaannya hari ini.

Justeru tidak hairanlah beliau sentiasa mengesyorkan supaya masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira bangsa dan keturunan agar merapatkan anak-anak mereka dengan pembacaan Bahasa Melayu.

“Ini akan menjadi asas yang kuat berdasarkan pengalaman saya sendiri,” katanya.

Dr Lim turut berpandangan dalam konteks masyarakat Malaysia, interaksi kaum amat perlu dalam mewujudkan sebuah bangsa Malaysia. Ia adalah antara ramuan utama untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang kukuh dan padu.

“Kita mesti perluaskan interaksi kita. Jangan dihalang interaksi antara kaum, jangan dibatasi walau dalam apa jua bidang.

“Interaksi inilah yang akan semakin mendekatkan kita kepada penguasaan bahasa di samping mewujudkan persefahaman dan sikap tolak ansur serta perpaduan yang kukuh.

“Jangan ambil mudah hal ini. Lambat laun anak-anak akan membesar dalam sifat yang tidak janggal,” tegasnya.
Dalam konteks yang sama, Dr Lim turut berpandangan perlu dikikis prasangka dan kekeliruan yang wujud dan berlaku dalam hal-hal yang disifatkannya sebagai remeh-temeh yang tidak menyokong pembinaan satu negara bangsa dalam erti kata yang sebenarnya.

“Kadang-kadang kita bercakap hendak membina sebuah masyarakat yang padu, yang kukuh tetapi dari segi pelaksanaan kita berbuat sesuatu yang menunjukkan kita ada prasangka,” tambahnya.

bersambung esok……..

Advertisements

BAHASA MELAYU

Prof Madya Dr Lim Swee Tin adalah nama besar dalam bidang kesusasteraan Melayu khususnya bidang kepenyairan sungguhpun beliau bukan Melayu. Beliau juga bukan berketurunan Melayu.

Beliau telah menghasilkan banyak novel, cerpen, puisi dan tulisan-tulisan berbentuk kesusasteraan.

Beliau juga adalah penerima S.E.A Write Award 2000, penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

Bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan ini, dilahir dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu mungkin menjadikannya lebih Melayu daripada keturunannya sendiri, iaitu Cina peranakan Kelantan.

Secara umumnya, Cina Peranakan Kelantan mengamalkan budaya yang rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat tempatan di Kelantan. Bahasa percakapan mereka adalah campuran Melayu, Siam dan Cina.

“Orang Cina di pantai Barat tak faham, tergamam mereka kalau mendengar percakapan kami,” kata Dr Lim sambil tersenyum ketika diwawancara Bernama baru-baru ini.

Beliau kini menyandang jawatan pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 1 Dis 2000.

bersambung esok……

DATUK NASIR SAFAR

PTPTN HENTIKAN 152,000 PELAJAR

Gara-gara prestasi yang merudum, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberhentikan pinjaman kepada 152,000 pelajar berikutan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang diperolehi mereka adalah 2.0 ke bawah.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata, jumlah pelajar yang ditamatkan pinjaman itu membabitkan pinjaman sebanyak RM632 juta.

“Mereka sebelum ini merupakan pelajar terbaik yang maju dalam pelajaran tetapi atas sebab tertentu pembelajaran mereka semakin merosot dan keputusan peperiksaan semester dua gagal mencapai 2.0 mengikut PNGK.

“Bagaimanapun jika mereka berjaya mendapat keputusan PNGK 2.0 ke atas dalam peperiksaan berikutnya PTPTN akan menyambung semula pinjaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan pinjaman PTPTN kepada seramai 100 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau yang layak memasuki IPTA dan IPTS di Jengka dekat sini hari ini.

Ismail berkata, PTPTN memberi pinjaman sebanyak RM38.69 juta kepada seramai 1.75 juta pelajar setakat ini.

Dalam pada itu katanya, PTPTN melupuskan pinjaman sebanyak RM277.99 juta kepada seramai 9,545 pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama pada tahun lepas.

“Tindakan menyenaraihitamkan mereka yang liat membayar pinjaman diteruskan dan sehingga kini seramai 132,180 orang berada di bawah senarai berkenaan,” katanya.

Katanya seramai 12,400 peminjam membayar balik pinjaman dengan kutipan berjumlah RM113.9 juta.

PTPTN harus mengkaji sebab-sebab prestasi yang merudum ini. Apakah ianya disebabkan dasar pembiayaan yang kurang bagus atau ada faktor-faktor lain.

Soalnya sekarang apakah nasib anak-anak ini ?

BERSAMA DATUK NASIR SAFAR

BERITA BAIK BAGI VETERAN YANG MASIH MAMPU

Persatuan Peguam Syarie Malaysia menggesa insentif kepada pengamal poligami dikhususkan kepada suami-suami yang memohon atau berdaftar menerusi Mahkamah Syariah sahaja.

Timbalan Presidennya Musa Awang berkata, permohonan poligami di mahkamah dapat mengurangkan kes suami yang bernikah lain di negara luar semata-mata kerana mahu mengelak diketahui isteri masing-masing.

“Hanya yang berdaftar di mahkamah sahaja boleh diberikan insentif, itu pun setelah memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Jangan sesekali memberi insentif tersebut kepada mereka yang bernikah lebih dari satu di selatan Thailand atau Indonesia,” kata Musa kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini, kerajaan PAS Kelantan menimbang cadangan untuk memberi insentif kepada pengamal poligami yang mampu menguruskan isteri dan keluarga dengan baik mengikut Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri Wan Ubadaidah Omar berkata, insentif perlu diberi mengikut syarat yang ditetapkan.

“Ketua keluarga perlu mengisytiharkan isteri masing-masing dan membawa mereka ke dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut Musa berkata, insentif semikian dapat memberi jaminan dan hak-hak yang dapat dituntut wanita sebagai isteri yang berkongsi suami.

“Permohonan poligami melalui mahkamah, isteri pertama atau yang sedia ada akan dimaklumkan hasrat suami dan isteri boleh menuntut hak sebagai isteri pertama.

“Hak mereka termasuklah nafkah isteri yang tetap, giliran bermalam, tempat tinggal, nafkah anak dan nafkah sepencarian,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Musa menyokong pendapat idea pemberian insentif ini merupakan satu cadangan yang baik.

Jelasnya, ini akan menggalakkan suami mengisytiharkan perkahwinan dengan isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat kepada orang ramai.

“Bukan sekadar mengisytiharkan tetapi juga mengelakkan timbul salah faham,” ujar Musa.

Ketua Muslimat PAS pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, insentif seumpama itu perlu diberi kepada mereka yang mengamalkan poligami secara sihat.

Jelasnya, poligami secara sihat adalah selaras dengan kehendak Islam dan suami yang berpoligami perlu bersifat amanah, bertanggungjawab dan paling penting memiliki keadilan.

“Buat apa diberi insentif jika suami tidak dapat berlaku adil? Ini akan memburukkan lagi keadaan memandangkan institusi kekeluargaan sudah cukup teruk. Setiap 15 minit ada pasangan bercerai,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, insentif ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah ibu tunggal.

“Apabila insentif diberi kepada suami khusus kepada suami yang berpoligami dengan ibu tunggal, ia dapat membela nasib mereka dan anak-anak,” ulasnya lanjut.

..

MENGHARGAI SEJARAH


Memandangkan pada masa ini banyak pihak yang salah faham tentang pelbagai aspek mengenai sejarah negara, negeri dan sejarah lain yang berkaitan maka rakyat perlu lebih menghargai dan mencintai sejarah serta bukti sejarah yang selama ini menjadi pembuktian kewujudan warisan negara.

Setiap warganegara Malaysia mencintai dan menghargai sejarah dan bukti sejarah negara dan negeri dan pada masa yang sama pemeliharaan sejarah ini (perlu) diberikan penegasan yang amat tinggi.

Untuk memupuk sikap menghargai dan mencintai sejarah oleh semua lapisan masyarakat, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya badan bukan kerajaan dan para pengkaji sejarah.

Kita harus menyusun dan menggerakkan program yang berkaitan untuk rakyat supaya semangat cintakan sejarah itu dapat dihayati oleh mereka terutamanya generasi muda.

Dengan adanya pelbagai teknologi moden kita boleh mempercepatkan pencarian sesuatu fakta atau maklumat sejarah, akan memudahkan orang ramai mengenali dan memahami sejarah.

Teknologi itu juga mampu menarik lebih ramai pelajar yang mengambil bidang sejarah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah untuk mengkaji sejarah asal-usul negara dan negeri serta budayanya. Sudah sewajarnya langkah-langkah tertentu disusun supaya sumber arkib yang bernilai di seluruh negara digunakan sebagai pemangkin pengkajian dan tesis yang hasilnya boleh menjadi kebanggaan negara.