MEMBINA 1MALAYSIA

oleh Wira Malaysia

KETIKA melancarkan Bulan Perpaduan Peringkat Kebangsaan beberapa tahun lalu Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya berkata, “bangsa Malaysia perlu direalisasikan dalam kerangka minda kita sendiri dengan melihat seseorang warga negara Malaysia tanpa berdasarkan warna kulit, agama, keturunan dan budayanya.”

Apa yang disebutkan Najib itu jelas menggambarkan bahawa minda atau psikologi kita memainkan peranan penting dalam membina tasawur yang sihat mengenai erti perpaduan dan konsep bangsa Malaysia itu.

Kini, selepas menjadi Perdana Menteri, Najib mahu memecahkan minda dan psikologi sempit itu melalui konsep ‘1Malaysia’. Dalam ucapan sulungnya Najib menyatakan konsep ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ditunjangi dua prinsip utama iaitu sikap saling menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain.

Apabila kita sudah menghormati antara satu sama lain bererti kita sudah mempunyai sikap terbuka untuk menghayati konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Seperti dijelaskan Najib, konsep ‘1Malaysia’ bermaksud kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Ini bermakna cara pemikiran dan bertindak kita mesti keluar daripada cara bertindak dalam tembok atau kepompong etnik. Contohnya, jika kita memperjuangkan soal kemiskinan, maka kemiskinan itu mesti dilihat merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, ladang, kampung baru atau kumpulan orang asli. Daripada lensa pembangunan, konsep dan falsafah ‘1Malaysia’ adalah bertitik tolak atau berteraskan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Ia bertujuan menjamin tidak ada masyarakat atau komuniti tercicir atau terpinggir daripada sebarang bentuk pembangunan yang dilaksanakan kerajaan. Semua kaum wajar menikmati kemakmuran dan nikmat pembangunan di negara ini. Hanya melalui dasar pembangunan yang adil untuk semua kaum maka perpaduan yang utuh dapat dibina.

Kerajaan tetap mengiktirafkan sumbangan semua kaum. Setiap rakyat tanpa mengira warna kulit bebas menyertai arus pembangunan negara. Kesaksamaan untuk semua kaum adalah sesuatu yang amat ditekankan kerajaan. Ini tidak bermakna konsep ‘1Malaysia’ sama dengan konsep kesamarataan seperti diperjuangkan di bawah konsep ‘Malaysian Malaysia.’ Negara mempunyai sejarah, tradisi dan warisan budayanya tersendiri. Semua resipi ini disalut dan diterap dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Najib sudah pun menegaskan bahawa apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara tetap menjadi prinsip dan landasan dalam menterjemahkan konsep terbabit. Ini bermakna semua fasal yang ditakrifkan sebagai hak istimewa orang Melayu tetap dipelihara kerana hak-hak terbabit tidak sedikit pun menafikan hak kaum lain. Apa yang nyata ialah konsep ‘1Malaysia’ bertemakan perpaduan rakyat. Perpaduan dalam kepelbagaian mendasari elemen kemajmukan rakyat di negara ini. Justeru, untuk meyakinkan rakyat maka Najib menegaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua komuniti di negara ini. Ini bukan bermakna kepemimpinan terdahulu tidak memberi perhatian kepada semua kaum dan komuniti di negara ini.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Tun Abdul Razak Hussein adalah antara lain bertujuan membina perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai dasar utama negara yang diperkenalkan kerajaan juga menekankan aspek perpaduan kaum. Dalam konsep Islam Hadhari yang menjadi pendekatan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menekankan pembelaan hak kumpulan minoriti di negara ini. Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga dikenali sebagai ‘Bapa Perpaduan’. Pada hakikatnya semua Perdana Menteri sebelum ini sentiasa menekankan perpaduan kaum kerana ia adalah asas penting dalam membina negara. Tidak mungkin asas penting ini diketepikan oleh kepemimpinan negara.

Mereka memahami perpaduan melalui hubungan kaum yang sihat amat penting dalam mengekalkan kestabilan sosio-politik di negara ini. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengingatkan bahawa isu perkauman adalah kekangan utama dalam membina negara-bangsa yang bersatu padu. Justeru, salah satu daripada sembilan cabaran yang digariskan beliau dalam Wawasan 2020 ialah usaha membina perpaduan kaum. Yang perlu difahami ialah setiap kepemimpinan mempunyai hasrat dan cita-cita untuk melihat bangsa dan negaranya terus mantap dan perkasa.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: