TANGGUNG JAWAB ANAK TERHADAP IBU BAPA

Siapakah yang lebih WAJIB memberi wang belanja kepada ibubapa, adakah :

a) Anak lelaki

b) Anak perempuan (yang telah berkahwin dan belum berkahwin)

c) Kedua-duanya iaitu anak lelaki dan perempuan.

Soalan saya di sini ialah yang WAJIB kerana setahu saya anak perempuan yang telah berkahwin kalau nak bagi atau tidak itu ikut kemampuan masing-masing dengan kata lain hanya untuk membantu tetapi anak lelaki adalah WAJIB memberi wang kepada ibubapa.

Dapat saya simpulkan, masih ramai yang TIDAK JELAS apakah kewajipan anak-anak terhadap ibu bapa, maka tidak hairanlah makin hari makin banyak kes anak derhaka dilaporkan di akhbar-akhbar. Saya masih ingat kisah seorang ayah yang ditinggalkan anak di pusat dialisis dan tidak lama kemudian muncul kisah seorang ayah ditinggalkan di perhentian bas di Putrajaya.

Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa. Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.

Mari kita sama-sama fikirkan perkara yang paling asas dalam kehidupan kita sehari-hari.

Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Di samping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “…dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah al- Isra’ ayat 23)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan : “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Sahih Imam al-Bukhari)

Menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT. Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan.

dari blog FATAMORGANA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: