TKSU KBS DIDAKWA DIMAHKAMAH

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut di sini, semalam, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita di hotel di Batu Feringgi dekat sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau dan pasangannya, Nur Diayana Norslan, 29, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Syarie Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya.

Salim berkemeja biru lengan panjang dan Nur Diayana yang berbaju kurung putih bercorak bunga, kelihatan tenang serta memahami pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Salim dituduh berkhalwat dengan Nur Diayana yang bukan isteri atau muhrimnya di bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringgi, jam 5 pagi, Sabtu lalu.

Pertuduhan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz dan Salim didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

Nur Diayana pula didakwa melakukan kesalahan bersama Salim yang bukan suami serta muhrimnya pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama.
Dalam prosiding semalam, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM1,000 bagi membebaskan anak guamnya.

“Jumlah RM3,000 dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum anak guam saya,” katanya.

Malah, Wan Faridulhadi berkata, isteri Salim yang hadir pada prosiding itu menyatakan kesediaan untuk menjamin kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Zulkhairi membantah permohonan dan memohon jaminan dibayar oleh pemastautin tetap di Pulau Pinang.

Nik Bukhari Hashimy kemudian menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh dan menetapkan 20 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Salim tiba di Mahkamah Syariah bersama isterinya yang berjubah dan berkaca hitam dan mereka kelihatan berbual mesra sebelum prosiding bermula, manakala Nur Diyana tiba dengan kenderaan berasingan.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata, Salim dan Nur Diayana sudah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: