KELUHAN SEORANG PEMIMPIN (4)

Ucapan Penangguhan Tan Sri Sanusi Junid pada Mesyuarat Agung Tahunan ke 33, 1987.

Kita telah mendengar berbagai-bagai teguran dan pandangan dalam ucapan-ucapan penangguhan tadi. Ingin saya nyatakan bahawa oleh sebab semua ucapan ini dirakamkan maka laporan mengenainya akan disediakan oleh Ibu Pejabat untuk diberikan perhatian sewajarnya.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengharapkan dengan satu ucapan dalam persidangan MAYC, maka seluruh dunia akan berubah kerana pendapat kita sebentar tadi. Oleh sebab semua wakil dari negeri-negeri sudah bangun, sudah menegur, maka pada mesyuarat tahun hadapan, kita tanya mengapa kerajaan belum laksanakan.
TIDAK BERHENTI MENEGUR

Kalau dirasakan begitu mustahak maka dalam forum lain seperti forum politik, forum masyarakat, dalam majlis-majlis dialog dan taklimat, ahli MAYC dapat terus mendedahkan sehingga masalah ini sampai kepada penggubal dasar melalui berbagai-bagai saluran dan bukan lagi menjadi masalah yang tersendiri atau masalah yang terpisah. Masalah ini sebenarnya masalah nasional yang sudah dihadapi oleh orang ramai, bukannya masalah segelintir wakil belia sahaja.
Oleh itu kita tidak boleh merasa gundah, resah, gelisah, dan susah hati apabila kita rasakan seolah-olah hujah kita itu tidak diberikan perhatian.

Jika kita telah berhujah dengan sungguh-sungguh, jika apa yang kita katakan itu menyentuh naluri para perwakilan, maka dengan sendirinya ia akan bersemarak dan idea kita akan berkembang dari tahun ke tahun, dari masa ke masa sehinggalah sesuatu perubahan positif berlaku. Mungkin, mengikut cara yang kita cadangkan ataupun sebaliknya.
Semua teguran ini akan ada dalam khazanah perbendaharaan pandangan ahli MAYC dan kita akan kemukakan melalui berbagai-bagai saluran.
Tetapi kita tidak akan bersikap angkuh dengan mengatakan bahawa semua yang kita katakan itu orang akan terima pakai. Malahan firman Tuhan pun banyak orang tidak indahkan apatah lagi pendapat wakil MAYC dalam sesuatu persidangan maka belum tentu semua orang akan terima. Tetapi tidak bermakna kita harus lemah semangat dan berhenti bercakap.
Ada wakil yang menegur mengatakan saya bercakap di tahap lama. Tetapi, selagi saya lihat wakil itu sendiri pun belum berubah bagaimana saya hendak bercakap mengenai perkara baru.
Selagi saya menjadi presiden, saya akan bercakap berulang-ulang mengenai perkara itu, selagi tidak ada perubahan. Kita harus tahu, Nabi Besar Muhammad SAW, sewaktu beliau belum wafat bukan semua orang patuh pada baginda. Itu nabi yang ada mukjizat, inikan pula saya manusia biasa. Masakan apa yang saya cakapkan pada hari ini, esok berlaku perubahan dengan serta merta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: