WARGA EMAS YANG DILUPAKAN

Oleh : Aw Mei Yee

Pepatah terbilang Melayu lama yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit” mungkin paling sesuai untuk membicarakan isu golongan warga emas dan mereka yang kurang bernasib baik, dan sering dilupakan dan diabaikan oleh semua pihak.

Golongan warga emas bermaksud mereka yang telah lanjut usianya, manakala golongan yang kurang bernasib baik pula boleh didefinisikan sebagai mereka yang kurang berupaya, ataupun anak yatim dan sebagainya. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan ini sentiasa dilupakan, malah diabaikan oleh semua lapisan masyarakat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa “Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, tentu terdapatnya faktor tertentu yang menyumbang ke arah berlakunya masalah ini.

Salah satu faktor yang paling ketara ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang enteng terhadap golongan ini. Mereka menggangap warga emas tidak berguna lagi, malah amat membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar orang tua yang telah lanjut usianya ke rumah orang tua.

Di samping itu, masyarakat juga memandang serong terhadap mereka yang kurang bernasib baik, sekali gus menyisihkan mereka. Sikap sebegini amat tidak bermoral, terutamanya bagi anak- anak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan mereka dengan bersusah payah, namun apakah yang diperoleh mereka semasa mereka tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila dilayan sedemikian oleh anak kesayangan mereka yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh.

Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang bernasib baik sudah cukup malang, dan janganlah menambah keperitan itu lagi dengan layanan buruk terhadap mereka. Dalam situasi ini, bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan masa kini ialah masyarakat tidak ada pun rasa belas kasihan ataupun menunjukkan simpati terhadap golongan ini, sebaliknya menyisihkan mereka dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian.

Bukan setakat itu sahaja, masyarakat sering memandang ringan terhadap golongan ini. Mereka menganggap warga tua telah tiada gunanya dan tidak berjasa lagi. Anggapan sedemikian ini sememangnya salah. Pernahkah kita terfikir akan jasa-jasa yang telah disumbangkan oleh warga emas sepanjang hayat mereka? Jika bukan kerana mereka, dapatkah kita menikmati kesenangan seperti yang dinimati pada hari ini?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa golongan warga emas telah banyak menabur budi kepada kemajuan yang kita capai pada masa kini. Mereka telah berhempas pulas demi mencari rezeki untuk menyara keluarga. Mereka telah berpenat lelah demi masa depan anak-anak. Malahan, mereka telah berkorban masa dan tenaga demi kemajuan negara.

Walaupun kini mereka telah lanjut usia, mereka tetap tabah mengharungi liku-liku kehidupan, dan segala asam garam dan pahit getir dalam hidup ini telah ditempuhi mereka. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: