Sindrom keakuran palsu bunuh perjuangan belia berpersatuan

KRISIS kepemimpinan organisasi belia negara ini bukan perkara baru. Ia antara lain pernah melanda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
dan Gerakan Belia 4B Malaysia.

Terbaru, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) juga kecoh dengan ‘perebutan kuasa’. Wartawan Edisi Mingguan, SHAMSUL AZREE SAMSHIR mendapatkan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee untuk mengulas isu ini.

KRISIS kepemimpinan MAYC nampaknya berlanjutan apabila bekas presidennya, Tan Sri Syed Hamid Albar mendakwa pelantikan Akhramsyah Sanusi sebagai presiden dan jawatankuasa baru pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 31 Julai lalu tidak sah. Perkembangan terbaru ini menampakkan kepincangan dalam pertubuhan belia, malah mengaburi matlamat asal penubuhannya untuk membela nasib ahli sedangkan organisasi sendiri berantakan. Apa pandangan anda.

Sebagai Presiden MBM, saya menyedari kemelut yang berlaku dalam pemilihan MAYC kini menjadi perhatian umum. Namun, saya beranggapan ia suatu kelaziman yang kadangkala tidak dapat dielak dalam proses pemilihan sesuatu organisasi. Apa yang lebih penting, kini MAYC mampu menjalankan tanggungjawabnya iaitu mengadakan mesyuarat agung tahunan. Ini menunjukkan ahli khususnya pemimpin MAYC pada peringkat negeri dan cawangan masih meyakini serta memberi harapan kepada pertubuhan itu. Mengenai proses pemilihan yang diadakan sebelum ini, saya meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada Pendaftar Pertubuhan Belia untuk membuat keputusan. Suara ahli MAYC harus didengar berlandaskan peruntukan perlembagaan pertubuhan. Sebagai badan induk, MBM menghormati segala keputusan serta tindakan diambil MAYC. Kini masa untuk pemimpin MAYC mencari titik pertemuan bagi persoalan yang menjadi perbezaan pandangan. Semua pihak khususnya pemimpin lama dan baru MAYC ada kesedaran serta kematangan untuk menyelesaikan masalah mengikut pemahaman kekeluargaan.

Apakah fokus perjuangan pertubuhan belia sebenarnya. Bagaimana pertubuhan belia berpegang kepada prinsip asal penubuhan terutama dalam membawa agenda ke peringkat tertinggi berdasarkan pengalaman MBM sendiri.

Jika dilihat 40 pertubuhan yang bergabung di bawah naungan MBM, semuanya mempunyai asas penubuhan sama ada berdasarkan keperluan pendidikan, keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan atau badan sukarela berpakaian seragam. Dari aspek sejarah, kebanyakan pertubuhan ini diwujudkan sebelum Merdeka atau ketika Malaysia rancak melalui fasa awal pembangunan (akhir 1960-an atau awal 1970-an). Ada juga ditubuhkan lebih lama iaitu Persekutuan Pengakap Malaysia ( 1908) dan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (1948). Pertubuhan inilah yang mendorong penubuhan MBM pada 1948 di Pulau Pinang. Maknanya, kewujudan pertubuhan belia di Malaysia selari dengan pembangunan negara. Sejak sebelum negara merdeka, kami sentiasa mengimbangi peranan sebagai lapisan ketiga masyarakat seperti diiktiraf dalam masyarakat sivil iaitu selepas kewujudan kelompok pentadbiran (pemerintah) dan kelompok ahli perniagaan (korporat).

Apatah lagi dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, saya yakin MBM serta badan gabungannya memainkan peranan besar sebagai ‘zon penampan’ bagi pelbagai isu membabitkan kaum, agama serta masyarakat. Bagi sesetengah pihak, pergerakan belia mungkin berkisar pada aktiviti kesukarelaan dan kemasyarakatan yang dipaparkan mengikut ragam dan minat anak muda. Namun, sebenarnya pergerakan belia adalah platform untuk menyemai benih persefahaman dan perpaduan kaum. Nikmat perpaduan di bawah panji Jalur Gemilang menjadi asas pegangan yang tidak mungkin boleh diusik. Sebab itu kami menyokong Gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia pegangan seluruh penggiat pergerakan belia sejak sebelum kita merdeka. Paling utama yang harus diiktiraf semua pihak ialah bagaimana penggiat dan pemimpin belia mengurus serta mentadbir perbezaan yang wujud mengikut keperluan pertubuhan masing-masing.

Apakah faktor membawa perpecahan pertubuhan belia. Apakah power struggle dan kecenderungan berpuak menjadi punca. Bagaimana elemen ini boleh menular dalam pertubuhan belia sedangkan ia bukan berasaskan organisasi politik.

Fenomena power struggle ada di mana saja termasuk dalam entiti keluarga, pejabat apatah lagi pergerakan belia. Walaupun bukan organisasi politik, pergerakan belia perlu dipimpin individu serta sekumpulan ahli yang memiliki kuasa dan wibawa. Kuasa untuk menentukan arah tuju pertubuhan dan idealismenya serta kuasa membentuk tingkah laku serta pemikiran ahlinya. Usaha advokasi dan perubahan dalam masyarakat memerlukan usaha serta perjuangan yang tinggi. Kepemimpinan yang kuat hanya terserlah apabila seseorang melalui ujian kepemimpinan termasuk menangani isu kepemimpinan serta mengurus perbezaan pendapat. Kewujudan kumpulan akibat berbeza pandangan kadangkala tidak dapat dielak dan harus dipandang positif.

Apa yang penting, pertembungan pendapat serta kepemimpinan masih dalam sempadan idealisme serta teras perjuangan pertubuhan belia. Perbezaan panda-ngan akan melahirkan individu lebih bertanggungjawab, berkeyakinan dan matang. Saya tidak mahu anak muda menjadi generasi yang dibelenggu sindrom keakuran palsu sehingga membunuh nilai kebenaran dalam masyarakat. Perbezaan pandangan yang dizahirkan melalui bantahan atau mak-lum balas yang tidak menepati pandangan kita walaupun pedih untuk diterima, masih memberikan makna ahli atau kumpulan itu sudi menerima sistem yang diamalkan. Apa jadi kalau mereka terus meninggalkan kepemimpinan tanpa pengikut? Dalam konteks negara dan masyarakat, pergerakan belia mempunyai ‘tali halus’ yang menghubungkan pentadbiran negara dengan rakyat. Jadi, pemimpin belia juga ialah pemimpin pendapat yang mesti diakui peranan dan kewujudannya.

Apakah sebenarnya masalah pertubuhan belia selain faktor kepemimpinan. Apakah pertubuhan belia kita kekurangan kewangan atau kurang sokongan pemimpin, ketua masyarakat dan belia sendiri.

Semua pihak harus memahami ragam dan idealisme belia. Apatah lagi belia era pasca Akta 668 yang berusia bawah umur 40 tahun. Ini kelompok orang muda yang memimpin rakyat berusia antara 15 hingga 40 tahun dengan keupayaan material serta ruang terbatas. Kerja ini sukarela. Namun, ada sesetengah pihak menilai kami seperti syarikat atau jabatan kerajaan, sehingga menegur cara sesetengah pemimpin belia menulis surat tidak mengikut format yang betul. Ada juga yang mencemuh kerana belia tidak mampu berbahasa Inggeris. Mungkin itu kelemahannya, namun beliau juga yang menyingsing lengan waktu banjir melanda.

Orang inilah yang menebalkan muka meminta bantuan untuk masyarakat. Individu ini juga memiliki ramai pengikut dan mampu menjadi penentu kepada banyak aliran masyarakat termasuk pengguna, gaya hidup, malah kuasa pemerintahan. Kita perlu pertingkat pengiktirafan masyarakat serta kerajaan terhadap pembabitan dan suara anak muda ini. Kita mahu belia bukan sekadar menjadi pengguna polisi, tetapi terbabit penuh dalam penggubalan polisi itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: