MENINGKATKAN KEAKRABAN DUA NEGARA

Rundingan dua hala Malaysia dan Indonesia di Kota Kinabalu semalam, mencapai matlamat apabila kedua-dua negara bersetuju supaya pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap sensitiviti yang boleh mengguris perasaan kerajaan dan rakyat negara berjiran.

Mesyuarat dimulakan dengan pertemuan empat mata antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan rakan sejawatan dari Indonesia, Dr Marty M Natalegawa, kira-kira jam 3 petang, disusuli mesyuarat delegasi Malaysia-Indonesia bermula jam 3.45 petang dan berakhir kira-kira jam 5 petang.

Pada sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu, Anifah berkata, Malaysia dan Indonesia komited ke arah mencari penyelesaian beberapa isu berbangkit dengan kedua-dua pihak sepakat mengambil pendekatan diplomasi ke arah meningkatkan keakraban dua negara berjiran. Menyifatkan isu yang dibincang pada pertemuan itu sebagai bukan urusan biasa, beliau menegaskan, Malaysia akan mengkaji semula Prosedur Piawai (SOP) dalam menangani isu membabitkan sempadan maritim dengan Indonesia bagi mengelak kejadian 13 Ogos lalu berulang.

Saya ingin menjelaskan bahawa layanan diberi kepada mereka tidaklah seburuk yang disiarkan segelintir media, justeru kami bersetuju pada masa akan datang pihak berkuasa berkenaan di kedua-dua negara akan memberi perhatian serius kepada sensitiviti yang boleh mengguris perasan kerajaan dan rakyat, katanya pada sidang media bersama di Hotel Le Meridien di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian 13 Ogos lalu tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dijadikan iktibar kepada kedua-dua negara supaya lebih berhati-hati dan mencari pendekatan terbaik dalam menangani isu atau keadaan sensitif demi menjaga hubungan baik yang lama terjalin.

Menyedari kejadian itu menjadi pertikaian dan rasa tidak puas hati di kalangan pihak tertentu di Indonesia, Anifah berkata, Malaysia memutuskan bahawa penguat kuasa Indonesia yang ditangkap pada masa akan datang tidak akan digari atau dipakaikan baju banduan.

Berikutan beberapa demonstrasi dan ancaman keselamatan yang ditujukan kepada kedutaan dan rakyat Malaysia di Indonesia, kedua menteri memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dan rakyat Indonesia di Malaysia dijaga demi manfaat bersama.

Dalam hal ini, saya juga menyuarakan supaya Kementerian Luar Indonesia mewujudkan satu zon keselamatan antara premis Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan penunjuk perasaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman harta serta pegawai di kedutaan terjamin, katanya.

Hubungan Malaysia-Indonesia diseret ke kancah kontroversi berikutan tindakan Polis Gerakan Marin (PGM) menahan tiga penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia pada 13 Ogos lalu kerana didakwa memasuki perairan negara.

Kejadian berkenaan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan segelintir rakyat Indonesia hingga mendorong kepada pelbagai aksi yang menjejaskan keharmonian negara berjiran termasuk membakar Jalur Gemilang dan kegiatan kumpulan Bendera Demokrasi Rakyat (BENDERA) yang mengapikan semangat Ganyang Malaysia.

Sementara itu, Marty berkata, episod yang menguji keakraban hubungan Malaysia-Indonesia itu memberi banyak pengajaran, terutama dalam menggunakan diplomasi sebagai saluran mencari jalan penyelesaian.

Susulan pertemuan hari ini (semalam), kita berkesempatan membentuk laluan lebih jelas dan melakukan perubahan pada SOP supaya tidak timbul lagi perselisihan seperti yang berlaku sebelum ini, katanya.

Beliau berkata, kumpulan teknikal kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat pada 11-12 Oktober ini di Malaysia dan 23-24 November di Indonesia, sejajar usaha meningkatkan rundingan berkaitan sempadan maritim.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: