AKHRAMSYAH TERAJUI MAYC

Oleh Hazirah Che Sab

Mulai semalam Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) diterajui muka baru, Akhramsyah Sanusi,  selepas 11 tahun dipimpin Tan Sri Syed Hamid Albar, sekali gus menyegarkan kembali pertubuhan berusia 54 tahun itu yang selama ini bergolak.

Akhramsyah, 36, anak pemimpin veteran UMNO dan bekas Presiden MAYC, Tan Sri Sanusi Junid, dipilih sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan MAYC bagi tempoh 2010/2012.

MAYC dianggotai 311 kelab gabungan dipimpin Syed Hamid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, sejak 1999 selepas mengambil alih daripada Tan Sri Sanusi Junid yang menerajuinya selama 28 tahun.

AGM yang diadakan di sini semalam adalah yang pertama dalam tempoh lima tahun.

AGM itu sepatutnya diadakan pada 2006 tetapi ditangguhkan berikutan masalah dalaman.

Kepemimpinan MAYC yang dipilih adalah muka baru termasuk timbalan presiden, Abdul Karim Mohamad ( Trengganu)manakala Setiausaha Agung, Ahmad Ansor ( Perak)

Ketika ditemui selepas AGM itu, Akhramsyah yang juga pengurus operasi peruncitan sebuah syarikat minyak antarabangsa, berkata matlamat utama kepemimpinannya ialah menyelamatkan MAYC daripada dibubarkan berikutan krisis pentadbiran  pertubuhan itu.

“MAYC sudah menerima beberapa surat amaran meminta AGM diadakan tetapi terus ditangguhkan tanpa diberi sebarang tarikh. Pejabat Pendaftar Belia (ROY) tidak mengambil kira itu semua kerana mengikut perlembagaan, AGM mesti diadakan.

“Ahli juga mahukan kepemimpinan muda dibawah umur 40 tahun menerajui kelab ini tetapi kami tidak sekali-kali mengenepikan pandangan veteran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjemput Syed Hamid selaku pemimpin MAYC sebelum ini, untuk menghadiri AGM itu. Syed Hamid tidak hadir pada majlis itu.  Walau bagaimana pun AGM itu telah dihadiri oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

“Kami menjemput semua pihak tetapi perwakilan dari Kelantan, Pahang dan Melaka tidak hadir. Perwakilan Kelantan memberi alasan salah seorang wakil rakyat mereka sedang nazak tetapi agak terkilan ketidakhadiran perwakilan Pahang dan Melaka. Namun kita masih bersangka baik, mungkin mereka ada hal yang tidak dapat dielakkan.

“Mungkin mereka mengambil nasihat pihak lain supaya tidak menghadiri AGM kali ini. Saya bersyukur kerana pemilihan perwakilan kali ini berjalan lancar.

Kepemimpinan lama juga perlu terbuka untuk menerima orang muda. Mereka boleh mempengaruhi tetapi jangan menghalang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar laporan tahunan saperti biasa kepada ROY mengenai situasi terkini selepas AGM dan butiran mengenai AGM dan pemilihan yang telah diadakan dan akan terus menjalankan kegiatan saperti biasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: