Seorang ahli Dewan Negara mencadangkan agar kisah penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin dijadikan sebahagian daripada kurikulum sistem persekolahan di negara ini.
Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah, berkata kurikulum mengenai Palestin boleh dimasukkan dalam mata pelajaran Pengetahuan Am atau mata pelajaran Sejarah. Katanya, ia sebagai satu komitmen yang boleh diteruskan generasi muda akan datang untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin menubuhkan sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat.
“Umpamanya, pada peringkat sekolah rendah, kita maklumkan saja perkara asas dan pada peringkat menengah kita gunakan pendekatan lebih mendalam, dan begitulah seterusnya,” katanya ketika membahaskan usul mengutuk serangan kejam oleh tentera rejim zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan ke Gaza pada persidangan Dewan Negara, semalam.
Dr Firdaus turut menyarankan agar kerajaan menghulurkan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti atau program bertujuan membantu rakyat Palestin.
Filed under: Uncategorized |
Leave a Reply