JAGA UMUR BIOLOGI

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

KETIKA mengikuti aktiviti Persatuan Menopaus Malaysia (MMS) bulan lalu, terasa tercabar juga apabila ramai peserta yang rata-rata berumur 55 tahun ke atas memilih untuk menyusuri laluan trek panjang di sebuah pulau di Pangkor, walaupun tahu mereka perlu mendaki bukit tinggi dan menuruni cerun curam.

ELAK OSTEOPOROSIS…senaman yang bersesuaian boleh menguatkan tulang warga tua. Rasa segan pun ada kerana sesetengah peserta perlu menggunakan tongkat bagi mengukuhkan langkah lantaran keadaan lutut kurang mantap tetapi masih punya semangat kuat untuk membuktikan pada usia begitu mereka masih mampu melakukan aktiviti mencabar.

Tidak cukup dengan mendaki hingga ke puncak setinggi kira-kira 2,000 meter dari aras laut, malamnya mereka berlatih menari selama sejam diikuti senaman di pantai pada keesokan paginya dan masuk semula ke hutan untuk menjejak trek yang pendek pula.

Melihat senarai aktiviti saja sudah terasa penat, tetapi kumpulan berkenaan masih cergas dan ceria. Dari mana datangnya tenaga mereka? Rahsianya, makin meningkat usia, makin aktif gaya hidup mereka. Jika tidak setiap hari, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu mereka bersenam (berjalan) atau mengikuti kumpulan tai chi, qi gong atau yoga.

Malah Presiden MMS, Dr Ho Choon Moy bangun pada jam 5 pagi setiap hari untuk berjoging bersama suami di taman perumahannya. Semuanya dilakukan demi kesihatan diri supaya mereka boleh menikmati kehidupan tua dengan sejahtera.

Antara contoh terbaik ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang masih kekal cergas pada usia 85 tahun. Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Latiffah Abd Latiff, berkata penuaan adalah sesuatu yang pasti dilalui semua orang jika panjang umur dan ia tidak boleh dihentikan tetapi proses diperlahankan.

Katanya, umur manusia boleh diukur melalui dua cara iaitu umur kronologi dan umur biologi. Umur kronologi ialah umur mengikut tarikh lahir, manakala umur biologi (yang lebih penting) pula diukur berdasarkan tahap kesihatan dan keupayaan seseorang. Umur biologi yang muda boleh dicapai dengan mengamalkan gaya hidup aktif, mengawal pemakanan dan kerap bersenam.

“Dulu umur 50 dianggap tua tetapi dengan peningkatan tahap ekonomi dan tahap kesihatan, kini umur tua diberi penetapan baru iaitu melebihi 60 tahun di negara membangun dan 65 tahun di negara maju.

“Jadi mengikut penetapan baru ini, umur bersara (55 atau 58 tahun) tidak boleh dianggap tua kerana mereka dikategorikan sebagai kumpulan yang masih produktif dan mampu memberi sumbangan terhadap masyarakat dalam bidang masing-masing.

“Ramai beranggapan penuaan bermula apabila seseorang mencecah umur 30 tahun. Bagaimanapun di negara kita, usia tua bermula dari angka 60 tahun dan individu yang menjaga kesihatan, aktif (fizikal dan mental) serta dan mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif berkemungkinan dapat melambatkan proses penuaan,” katanya.

Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 orang meninggal dunia setiap hari atas pelbagai sebab berkaitan umur. Warga emas boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu muda tua (60 hingga 64 tahun); tua pertengahan (65 hingga 74 tahun) dan paling tua (75 tahun ke atas). Bagaimanapun, kata Dr Latiffah, umur sebenar seseorang tidak boleh dikira bersandarkan umur kronologi saja kerana pada umur sama, individu A mungkin lebih tua berbanding individu B; bergantung kepada tahap kesihatan mental dan keupayaan fizikal masing-masing.

Apabila umur meningkat, seluruh badan kita mengalami pelbagai perubahan daripada segi fizikal, psikologi dan emosi. Antara perubahan ini ialah:

•Mata — penglihatan menjadi semakin kabur

•Semua organ dalam badan (sendi, tulang, jantung, hati dan sebagainya) akan mula ‘mengecut’ dan fungsinya menurun perlahan-lahan

•Kulit — Mula mengendur dan kering kerana kekurangan kolagen dan air

•Struktur badan — Pengumpulan lemak meningkat, otot menjadi lebih kecil, berat badan bertambah. Ia mengundang penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit lain

•Tulang — Ketumpatan tulang merosot dan mendedahkan seseorang kepada risiko osteoporosis. Paling penting untuk dijaga ialah tulang belakang kerana sebarang masalah menyebabkan kesakitan pada urat saraf yang akhirnya menyekat kebolehan melakukan kerja harian. Kesakitan saraf akibat masalah pada tulang belakang biasanya membuatkan orang lebih banyak berehat atau baring, tetapi ini sebenarnya boleh mengakibatkan lebih banyak masalah kesihatan

•Gigi — Kehilangan gigi boleh dielak dengan mengamalkan kaedah penjagaan gigi yang baik dan berjumpa doktor gigi dua kali setahun

•Penyakit kardiovaskular — Penyakit jantung dan strok berkait rapat dengan peningkatan umur biologi, pemakanan, paras kolesterol dalam darah dan faktor genetik

•Kencing manis — Peningkatan jumlah pesakit kencing manis di negara kita sangat menakutkan kerana semakin ramai golongan muda menghidap penyakit ini. Kajian menunjukkan bayi yang dilahirkan dengan berat kurang daripada 2.5 kilogram lebih berisiko menghidap kencing manis apabila dewasa kelak. Bagaimanapun perkara ini juga tertakluk kepada tabiat pemakanan, gaya hidup dan faktor genetik. Individu yang mempunyai ibu bapa menghidap kencing manis lebih berisiko untuk mendapat penyakit yang sama jika langkah pencegahan tidak diambil

•Kebotakan — Bagi lelaki

•Menopaus — Bagi wanita. Selepas menopaus, risiko wanita untuk mendapat penyakit jantung sama tinggi dengan lelaki kerana badan tidak lagi menghasilkan hormon progesteron yang bertindak melindungi daripada masalah jantung

•Masalah pendengaran — Pendengaran juga semakin merosot dan jika anda tidak berinteraksi dengan cara betul dengan mereka, orang tua akan berasa dirinya tersisih

•Tindak balas — Tindak balas menjadi lebih perlahan kerana deria penglihatan dan dengar turut merosot
Langkah melambatkan penuaan
Menurut Dr Latiffah, seperti kebanyakan negara maju dan membangun, Malaysia juga menuju ke arah menjadi negara yang bakal dipenuhi warga tua. Penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas dianggarkan berjumlah dua juta dan 20 peratus daripadanya menghidap pelbagai masalah kesihatan.

Tiga faktor menyumbang kepada penuaan penduduk sesebuah negara iaitu migrasi, jangka hayat lebih lama (kurang kematian disebabkan peningkatan status ekonomi, kesihatan dan kemudahan perubatan) dan kemerosotan kadar kelahiran.

Oleh kerana penuaan tidak dapat dielak, kita perlu bersedia menerima kedatangannya untuk melambatkan proses itu. Memang tidak dapat dinafikan ramai takut menempuh zaman tua, tetapi ia adalah fitrah alam yang tidak dapat diubah. Tidak kira berapa banyak pun suntikan Botox, vitamin C atau lain-lain zat diambil, penuaan akan tetap berlaku.

Justeru, antara persediaan awal paling penting ialah berfikiran positif, menerima hakikat bahawa sesetengah perkara dalam kehidupan ini berada di luar kawalan kita dan cuba mengadaptasi dengan perubahan dilalui.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: