BAWAH UMUR 40 TAHUN HARUS DIBERI TEMPAT

Membina modal insan – intelektual, kreatif dan inovatif – bukanlah mudah. Satu daripada langkahnya ialah mewujudkan iklim yang kondusif untuk pembangunan insan bersepadu di pelbagai peringkat seperti sekolah, universiti dan institusi belia.

Pelajar harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif. Ini bagi mewujudkan ekosistem yang mengupayakan budaya kreatif dan inovasi yang melibatkan segenap lapisan masyarakat dan bidang.

Majoriti guru, pensyarah dan pemimpin belia serta pemimpinan sekolah, universiti dan institusi belia adalah komited dengan agenda ini.

Bagaimanapun, terdapat juga keadaan-keadaan yang sebaliknya, di mana sesetengah orang muda bukan sahaja tidak disediakan dengan iklim yang kondusif itu, malahan terdapat mereka yang diperlekehkan.

Sebenarnya, ia dianggap jarang berlaku kerana ia jarang dilaporkan atau dibincangkan dengan terbuka.

Namun, jika dilihat komentar tentang hal ini dalam facebook dan sesawang sosial yang lain, maka ia tidaklah sejarang yang dijangka. Di samping itu, sesetengah orang tidak faham akan makna memperlekeh orang muda, lalu mengatakan yang gejala ini jarang berlaku.

Dalam gerakan belia, pernah terdapat dua buah badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dinafikan hak peruntukan kewangannya semata-mata kerana berbeza pendirian dengan pemimpin atasan agensi kerajaan yang berkaitan.

Orang muda tidak dibolehkan berbeza pendapat. Jika berbeza pendapat, pelajar tidak diberikan restu, mahasiswa dilabelkan sebagai pembangkang, manakala belia dituduh hendak tunjuk pandai.

Suara orang muda pernah dinafikan apabila terdapat pelajar yang telah dipilih oleh persatuannya menjadi ketua, tetapi dipaksa oleh sekolah supaya melepaskan jawatan kerana kononnya prestasi akademiknya buruk. Tetapi, syarat akademik itu tidak wujud ketika pemilihan dibuat, dan pelajar itu tidaklah buruk prestasinya. Lebih kasihan ialah pelajar itu telah pun bekerja keras mengetuai persatuannya untuk satu tempoh masa yang signifikan, termasuk berjaya mengumpulkan sejumlah besar penajaan bagi persatuan.

Terdapat mahasiswa antarabangsa yang telah dipilih menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT), tetapi dipaksa oleh IPT itu supaya melepaskannya kerana kononnya jawatan itu hanya boleh dipegang oleh mahasiswa Malaysia, sedangkan syarat itu tidak wujud.

Seorang Presiden MBM pernah dinafikan haknya berucap seperti yang sepatutnya di Perhimpunan Hari Belia Negara.

Gejala buruk ini mesti dihentikan segera. Oleh kerana ia berlaku di peringkat akar umbi, maka, Menteri dan pegawai tinggi sahaja tidak mampu menanganinya. Ia memerlukan keberanian sosial setiap seorang daripada kita untuk merubahnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: